Asia

Keju artisan: Wanita jadikan makanan kegemaran perniagaan laris di Malaysia

KUALA LUMPUR: Keju bukan suatu perkara main-main bagi Annisa Iwan dan para penggemar produk tenusu ini, seperti apa yang berlaku dalam satu insiden melibatkan pelanggan yang ingin mendapatkan potongan terakhir sejenis keju rekaan beliau.

Kejadian berlaku di sebuah pasar artisan tempat beliau berniaga. Seorang pelanggan telah memesan potongan terakhir keju "Alba" yang merupakan rekaannya bagi keju jenis brie.

Advertisement

Advertisement

“Tiba-tiba seorang pelanggan lain menemui suami saya yang ketika itu sedang mengendalikan gerai lalu mendakwa keju itu kepunyaannya. Pelanggan tersebut membelinya dan terus beredar!”

“Apabila pembeli yang asal kembali ke gerai dan mendapati keju yang dipesannya telah dicuri, jenuhlah saya cuba memujuknya. Namun pelanggan ini akhirnya menjadi antara pelanggan saya yang paling setia,” ujar wanita berusia 44 tahun itu seraya tertawa.

Annisa Irwan di dalam ruang terkawal suhu yang dipenuhi keju dalam proses permatangan. (Foto: Vincent Tan)

Terbaru, semasa tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, inventori Annisa telah susut teruk selama dua bulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi memerangi wabak COVID-19 tersebut.

Advertisement

Advertisement

“Setelah negara memasuki fasa PKPB, inventori saya tinggal hanya 20 peratus daripada asal dan ini amat membimbangkan saya kerana keju bukanlah sesuatu yang boleh kita hasilkan dengan serta-merta. Kami terpaksa mengehadkan pengambilan pesanan kami kepada 30 pelanggan sahaja sehari,” kata Annisa.

Itu pun masih ada pelanggan yang cuba memintas had ini dengan pelbagai caratermasuk menggabungkan pesanan beberapa orang di bawah satu nama.

“Mereka memesan beberapa jenis keju dalam satu pesanan dan mengarahkan supaya setiap keju dibungkus secara berasingan. Macamlah saya tak tahu muslihat mereka,” ujar Annisa sambil tertawa lagi.

Annisa Iwan menyusun paket-paket kultur pemula yang digunakan dalam proses pembuatan keju. (Foto: Vincent Tan)

Sejak berhijrah dari Indonesia ke Malaysia pada 2014 atas urusan kerja suami beliau, Annisa telah membuat dan menjual keju menggunakan jenama sendiri iaitu Milky Whey Cheese selama hampir empat tahun.

Beliau dikenali ramai dalam kalangan penggemar keju tempatan dan pengusaha F&B disebabkan kepelbagaian keju yang dihasilkan ditambah pula dengan rekaan beliau yang unik diadun dengan ramuan tempatan.

PERMULAAN HOBI

Kecintaan Annisa terhadap keju bermula sejak zaman kanak-kanak apabila sanak saudara berkunjung setiap tahun dan menghadiahkan keju, pate dan coklat kepada keluarganya.

“Adik-beradik saya tidak menggemari pate atau keju, jadi banyaklah yang saya dapat,” kisah beliau.

Setelah dewasa, beliau melancong dan mencuba keju di negara seperti Perancis dan Itali. Ternyata produk di negara tersebut jauh lebih berperisa berbanding produk import yang ada di Jakarta.

Beliau bertekad untuk menghasilkan sendiri keju mozarela sebagai eksperimen awal dengan melayari Internet dan membeli buku bagi mempelajari prosesnya.

“Saya bernasib baik keju pertama saya menjadi,” katanya, seraya menambah kejayaan ini mendorong beliau meneruskan hobi barunya ini.

Annisa membawa hobi ini bersamanya ke Malaysia. Apabila geroboknya mula dipenuhi keju disebabkan minatnya, beliau mengambil bahagian dalam bazaarnya yang pertama pada 2016 di sebuah sekolah antarabangsa di sini bagi membuka ruang untuk kumpulan keju berikutnya yang sedang dalam proses pembuatan.

Keju tomme buatan Annisa Iwan versi halal. Keju tersebut dibasuh dengan air kopi untuk mengganti wain yang sering diguna dalam resipi Eropah. (Foto: Vincent Tan)

Sejak itu, hobi beliau terus berkembang. Sebahagian rumahnya dikhususkan untuk perniagaan artisan ini, lengkap dengan sebuah ruang terkawal suhu yang dipenuhi keju dalam proses permatangan. Satu lagi ruang penyimpanan sedang dalam pembinaan.

RESIPI TRADISIONAL, RAMUAN TEMPATAN

Pada pagi temu bual bersama CNA, Annisa baru sahaja menerima penghantaran 4,000 L susu segar dari sebuah pengusaha hasil tenusu tempatan yang bakal dijadikan sekumpulan besar keju raclette.

Beliau teringat satu lagi kisah lucu di mana cubaan pertamanya membuat keju Swiss yang terkenal ini menyebabkan adiknya menangis kerana rasanya yang meloyakan.

“Biasanya dalam menghasilkan semula apa-apa jenis keju tradisional, saya akan patuh kepada kaedah atau resipinya yang asal. Namun disebabkan iklim dan terroir (persekitaran semulajadi) kita yang berbeza, kami terpaksa menyesuaikan resipi dan kawalan kelembapan,” ujar beliau.

Sebanyak 3,200 L hingga 4,000 L susu lembu Jersey digunakan untuk menghasilkan 30kg hingga 40kg keju. (Foto: Vincent Tan)

Di samping jenis keju popular Eropah seperti gouda, keju biru dan raclette yang dihasilkan semula, rekaan Annisa yang turut mendapat tempat di hati pelanggan adalah keju yang mengandungi ramuan tempatan.

“Sarawak”, umpamanya, diselimuti lada hitam Sarawak. Apabila matang, aroma semerbak lada hitam tersebut lenyap tetapi di sebelah dalam, setiap bebola keju telah menyerap rasa lada hitam bersama-sama perisanya yang tersendiri dan ini menghasilkan satu rasa seperti bawang putih dan umami disertai rasa lembut piperina (sebatian aktif di dalam lada hitam) pada lidah.

Jenis keju tempatan lain yang dihasilkan oleh Annisa termasuk “Kunyit” iaitu sejenis keju keras yang digosok dengan serbuk kunyit dan lada hitam Sarawak, dan "Cili Padi Gouda" yang seperti namanya mengandungi emping cili padi.

Read More – Source

[contf]
[contfnew]

channel news asia

[contfnewc]
[contfnewc]

Related Articles

Asia

Joshua Wong and fellow activists plead guilty in Hong Kong protests trial

bbc– Hong Kong democracy activist Joshua Wong and two fellow campaigners are...

Asia

Works worth Rs 1,559 cr completed in Bihar out of PM s package of Rs 1.25 lakh cr: Congress

PATNA: Congress general secretary Randeep Surjewala on Tuesday claimed that works worth...

Asia

Ex-Trump fundraiser pleads guilty to illicit lobbying on 1MDB, China

WASHINGTON: A former top fundraiser for President Donald Trump pleaded guilty Tuesday...

Asia

Covid: Delhi more “open” than Mumbai

NEW DELHI: With Unlock 5.0 underway from October 15, more businesses and...